Kami sendiri sebenarnya tidak menyangka bahawa terdapat ramai di kalangan pelanggan kami masih tidak faham atau tidak tahu bagaimana untuk menyimpan kek lapis Sarawak di dalam peti sejuk ni supaya tahan lebih lama.
Ini kerana kami berpendapat cara penyimpanan makanan di dalam peti sejuk adalah pengetahuan umum dan tidak perlu untuk diterangkan.
Tetapi setelah memahami bahawa pelanggan kami datang dari latar belakang yang berlainan kami pun faham mengapa ini bukanlah satu pengetahuan umum yang biasa-biasa.
Jadi kami sediakan di sini satu entry mengajar pelanggan kami atau sesiapa sahaja yang ingin tahu bagaimana untuk menyimpan kek lapis sarawak di dalam peti sejuk dengan cara yang betul agar lebih tahan lama sehingga 2 minggu.
Balut dengan plastik gulung makanan
Setiap kek lapis kami akan dibalut dengan plastik gulung bagi mengelak kek lapis menyerap air dari peti sejuk jika ada wap air. Jika hanya ingin makan sebahagian kek, potong bahagian kek lapis yang anda ingin makan dan selebihnya ada balut semula dengan plastik asalnya.
Pastikan tidak terkena air atau basah ketika membalut, lap jika perlu.
Elak memotong kek lapis dengan pisau atau tangan yang basah. Ini kerana air paip boleh menyebabkan kek mudah rosak. Pastikan juga papan pemotong dalam keadaan kering dan bersih ketika memotong.
Tukar plastik balutan dengan yang baru jika perlu. Gunakan apa saja jenis plastik asalkan ianya bersih.
Simpan dalam kontena bertutup atau kedap udara
Simpan kek lapis dalam bekas yang kedap udara. Boleh keluarkan kek lapis yang sudah dipotong atau yang masih baru daripada bekas asal untuk dimasukkan ke dalam bekas kontena yang bertutup.
Ini bertujuan untuk menjimatkan ruang di dalam peti sejuk. Tapi jika ada ruang yang banyak tidak keluarkan dari bekas asal pun tak apa.
Tujuan menyimpan dalam bekas yang bertutup ni adalah untuk mengelak kek lapis kita menyerap bau atau hawa peti sejuk. Lebih-lebih lagi peti sejuk yang ada menyimpan barangan bau yang kuat seperti buah durian, budu dan lain-lain makanan yang boleh merosakkan makan yang lain jika diletak dalam peti yang sama.
Bekas bertutup ini juga bertujuan mengekalkan suhu yang sejuk di ruangan bekas. Kita tahu jika peti sejuk di rumah memang akan selalu dibuka tutup dan ini akan menyebabkan peti kurang sejuk.
Dengan langkah menyimpan di dalam kontena ia dapat mengurangkan penurunan suhu sejuk pada kek lapis ketika peti sejuk dibuka.
Tips Tambahan
Jika peti sejuk anda jenis yang mudah berpeluh kerana sering dibuka atau peti sejuk yang tidak terlalu sejuk mungkin peti sejuk lama.
Apa yang boleh anda lakukan untuk memastikan kek anda berada dalam suhu yang optimum adaalah dengan membalut kek lapis dengan kertas.
Caranya adalah setelah anda balut kek lapis anda tadi dengan plastik gulung atau plastik lain yang sesuai. Balut sekali lagi kek lapis anda dengan kertas makanan. Kertas boleh gunakan apa sahaja kertas asalkan kertas bersih.
Dengan berbuat sedemikian, suhu pada kek lapis anda akan lebih cepat sejuk dan kekal lebih lama kerana kertas tadi boleh memerangkap suhu sejuk dari keluar dengan cepat.
Akhir kata, jika anda buat semua langkah diatas insyaAllah kami percaya kek lapis anda akan lebih tahan lama selama 2 minggu keatas asalkan tidak terdedah lama ketika memotong.
Syaratnya adalah hanya potong bahagian yang kita hendak makan kemudian terus simpan kek yang selebihnya di dalam peti sejuk.
Tindakan ini amat membantu ketahanan kek lapis pada tahap optimum dan dapat mengekalkan kualiti dan rasa kek lapis anda tadi. Jika ada persoalan sila gunakan chatbox yang kami sediakan di blog ini. Semoga bermanfaat.